Monday, July 06, 2009

bahagia...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


................................................................................................................

Antara kasih dan kasihan, di mana letaknya bahagia?


................................................................................................................


Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam

Thursday, June 18, 2009

bercakap-cakap

Dengan Nama Allah Yang Sangat Pemurah Lagi Sangat Penyayang

Dalam sebuah buku cerita (novel) aku pernah terjumpa ungkapan begini "Bercakap dengan diri sendiri kadang-kala mewaraskan."
Bercakap dengan pokok pula bagaimana?

Suatu hari ma menyebut-nyebut tentang pokok jering yang belum berbuah. Oleh kerana aku pernah dengar Fadzilah Kamsah berkata, bercakap dengan pokok ini ada kesannya. Maka aku dan adik terus ke belakang rumah.

Dengan penuh yakin, aku dan adik bercakap-cakap dengan pokok jering yang sudah menjulang tinggi itu.

“Kalau tak berbuah juga, kami tebang kamu.” Ayat tersebut diulang-ulang beberapa kali sehingga ma menyuruh kami berhenti. Malu didengar jiran. Entah berapa lama kemudian, jering tersebut berbunga dan berbuah.

Sekarang ini, musim kepala, hati dan perasaan yang tidak tenteram. Maka sangat terasa seperti mahu pergi bercuti. Atau mungkin istilah lebih tepat ialah melarikan diri buat seketika. Contohnya panjat bukit. Bercakap dengan pokok, daun, batu, sungai, air dan segala macam serangga. Gunung stong kedengarannya sangat cantik. Mungkin boleh berkira-kira untuk ke sana.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam

Monday, June 08, 2009

ketemu jua...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, cikgu yang saya sangat-sangat mahu jumpa itu, akhirnya ketemu jua dalam satu majlis. Walaupun cikgu sudah tidak ingat saya, itu tidak penting.

“Tak apa, yang penting saya ajar dia,” begitu tutur cikgu kepada sahabat sebelahnya apabila dia betul-betul gagal mengingat wajah anak muridnya ini.

Hari terakhir, semasa saya ralit mengadap laptop, cikgu tiba-tiba mampir di sebelah saya.

“Saya nak balik dah ni,” ujar cikgu. Saya sangat terkejut dan gembira. Sangat terharu sebenarnya kerana cikgu sudi datang ke tempat saya semata-semata untuk memberitahu beliau sudah mahu pulang.

Sebelum itu saya meninjau-ninjau juga, bimbang sekiranya cikgu sudah pulang sebelum sempat mengucap selamat jalan.

Cikgu tinggalkan emel dan nombor telefon. Seorang cikgu yang sentiasa tersenyum ini sangat saya kagumi. Semoga ada rezeki untuk berjumpa lagi.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam…

wassalam

Tuesday, June 02, 2009

cikgu...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tahun 1999 saya ke KT. Dihantar ibu ayah ke sebuah sekolah berasrama penuh untuk mengikuti pengajian peringkat matrikulasi. Itulah pengalaman pertama saya bersekolah di sebuah sekolah tersohor selepas peluang pertama saya tolak ketika di usia 12 tahun.

Cikgu matematik saya waktu itu ialah cikgu shukrimun. Seorang yang sangat hebat. Sewaktu kami terkial-kial mengetik papan kalkulator membuat pengiraan, dia hanya diam memandang rumus di papan hitam. Dan sebelum kami sempat menekan ‘enter’ untuk mendapatkan hasil, dia terlebih dahulu menulis jawapan. Tidak silap walau satu angka pun.

Namun, saya pelajar yang nakal. Saya selalu tertidur di dalam kelasnya. Dan dia tidak pernah marah atau menegur. Saya cuma pernah mengangkat tangan dan bertanya sekali sahaja. Ianya tentang peredaran bumi dan matahari. Menurut beliau, matahari turut bergerak di atas orbitnya yang tersendiri.

Sewaktu menemankan seorang kawan berjumpa beliau, beliau menunjukkan sebuah glob di atas mejanya. Kata beliau, garis Greenwich yang ada sekarang salah. Beliau menunjukkan garis yang betul. Garisan yang sepatutnya melintasi kaabah. Namun hal ini tidak ramai yang tahu. Saya sangat kagum waktu itu.

Serasa seperti mahu bertemunya lagi. Sebenarnya sekarang ini musim saya sangat-sangat merindui guru-guru dan sekolah lama. Semoga segala kebaikan mereka diimbali pahala.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam…

wassalam

Thursday, May 14, 2009

tag...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Kena tag dengan Suri. Lama dah nak buat tapi memang agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Malam pula selalu terlelap awal. Peraturan nak jawab tag ni ialah:

1. Copy badge "2009 Cute's 3logger Award" untuk diletakkan di blog anda.


2. Link/ceritakan kembali siapa yang memberikan award ini kepada anda.
Award ini diberi oleh Suri. Dia adalah rakan serumah saya.

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta/hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya (anda di-tag).

10 fakta (nak kira auta pun boleh juga kot) atau hobi saya:

1. Anak no 2 dari 5 beradik.
2. Degil dan suka melawan dari kecil sampai sekarang.
3. Suka coklat.
4. Tidak boleh berpisah dengan hanset.
5. Suka buku.
6. Tidak suka sekiranya orang pinjam buku dan tidak jaga dengan elok.
7. Suka usik anak saudara, contohnya marah-marah dia dan buat dia menangis.
8. Suka teh tarik.
9. Suka nasi berlauk, lauk ayam.
10. Berminat dengan foto walaupun selalu kena marah dengan cik ain sebab gambar yang diambil tak cantik.

4. Anda perlu memilih 6 penerima award seterusnya dan menyatakan nama mereka di blog.
- malas la nak fikir siapa..huhu

5. Jangan lupa untuk melawat blog mereka dan meninggalkan komen yang menyatakan:
"anda telah di tag - sila layari blog saya untuk mendapatkan award anda"
-diabaikan.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam
esok malam balik kg..hehe

Wednesday, May 06, 2009

winter sonata (3)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Satu sikap yang aku puji tentang orang korea ini ialah mereka sangat berjimat-cermat. Di stesyen tren ada waktu-waktunya eskalator akan diberhentikan. "Sewaktu ekonomi gawat, eskalator pernah ditutup terus. Semua orang terpaksa guna tangga. Ramai yang merungut," cerita adik sewaktu aku termengah-mengah berjalan separuh berlari mengejarnya. Semenjak datang ke sini, memang dia berjalan laju.

Eskalator untuk pejalan kaki (apa ke namanya tu) hanya bergerak di waktu puncak sahaja, pagi dan petang. Waktu lain, ia diam sahaja.

"Cuba perhatikan, orang korea akan biarkan pintu lif tertutup sendiri. Mereka tidak tekan butang supaya lif tutup." ujar adik.

"Mengapa?" soalku.

"Mereka mahu jimatkan elektrik."

"Sampai begitu sekali?"

"Kerajaan pernah buat kempen untuk galakkan pengguna supaya tidak tekan pintu lif."

Hebat bukan?

Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam

Tuesday, May 05, 2009

akibat...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Akibat tidak dapat ke pesta buku, maka saya terpaksa berhabis RM75 di mph membeli 3 buah buku berikut:

1. Sains dari perspektif kitab samawi
2. Saasatul Ibaad
3. Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz

Mungkin sebab sudah lama tidak memborong buku, tambah pula hasrat untuk ke pesta buku tidak kesampaian dan dicampur pula dengan mendapat duit secara tiba-tiba dalam akaun, maka inilah hasilnya.

Buku ke-3 sudah habis dibaca. Selebihnya sedang berusaha dengan gigih (?) untuk menghabiskannya. Selamat membaca untuk diri sendiri.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam

Monday, April 27, 2009

pesta buku kali ini...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Tahun ini tidak dapat ke pesta buku seperti tahun-tahun yang lepas. Tentulah saya berasa sangat sedih. Semangat saya berkobar-kobar hendak menjejakkan kaki ke pwtc. Duit dalam tabung 'rumah kayu' itu saya keluarkan. Hitung kira jumlahnya hanya RM40. Jenuh saya berfikir buku apa yang akan dibeli dengan duit sebanyak itu.

Namun saya bersyukur kerana dapat juga memiliki dua buah buku, setelah meminta seorang junior membelikannya. Saya mengirim buku yang saya rasa mudah bagi mereka untuk mencarinya. Buku Bidadari Dari Timur (saya tahu tentang ini selepas membacanya di blog Prof Kamil) dan Rindu Bau Pohon Tin.

Saya ingin mengumpul lebih banyak duit untuk ke pesta tahun hadapan. Semoga ada rezeki untuk ke sana lagi.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam

Tuesday, April 07, 2009

winter sonata (2)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tiba-tiba sahaja rasa rindu pada tanah winter sonata. Pelik bukan. Sudah sebulan lebih meninggalkan negara kenderaan kia itu. Kembara kali ini sudah lama dirancang. Tetapi berlainan dengan kembara-kembara sebelum ini. Tidak rasa seronok pun sebelum ke sana. Bahkan semasa di sana pun, perasaan biasa-biasa sahaja.

Namun cara dan gaya hidup orang-orang di sana menarik untuk diambil jadi ikutan. Mereka bergerak pantas. Berjalan seperti berlari. Setiap waktu, di stesen-stesen tren dan bas, manusia seperti mengejar dan dikejar waktu. Tidak kira tua atau muda, lelaki maupun wanita.

"Orang-orang tua di sini aktif, sangat aktif," ujar Syifa' peneman kami yang juga senior adik. Sudah lima tahun lebih dia di negara ini. Tentunya sudah faham benar dengan perangai dan rentak warga korea.

Hujung minggu, warga tua sibuk dengan aktiviti mendaki gunung. Tapi gunung di sini tidak setinggi gunung di negara kita. Maka kita dapat lihat warga tua ini menaiki tren dengan kasut untuk mendaki dan beg sandang di belakang.

Ada beberapa perkara yang saya kategorikan sebagai pantang larang. Pantang larang pertama. "Senior aku pesan, kamu jangan sesekali duduk di kerus itu," beritahu adik merujuk kepada kerusi khusus untuk warga tua di dalam tren. Kerusi yang sama terdapat di negara kita. Tetapi berapa ramai warga kita yang sihat gagah perkasa duduk di atas kerusi itu dengan tanpa malu segan.

Cerita adik lagi, "Pernah seorang senior diangkat oleh seorang pakcik tua dan diletak di luar tren kerana duduk di kerusi tersebut." Aku terkedu dan cuba membayangkan bagaimana pakcik itu dengan susah payah mengangkat seorang anak muda. Maka jangan hairan sekiranya deretan kerusi itu tetap kosong walaupun tren penuh sesak.

Pantang larang kedua. "Jangan sesekali kamu memalukan aku dengan menggunakan itu," senior adik melarang keras menggunakan kemudahan seperti dalam gambar di bawah. "Pernah suatu hari kaki aku sakit. Tapi aku tetap naik tangga. Malu aku," ujar adik.



Ia hanya sesuai untuk golongan ini


Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam

Tuesday, March 10, 2009

gmp...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pertama kali turun ke jalan raya bersama rakyat. Tanda sokongon kepada GMP. Pertama kali juga merasa gas pemedih mata. Seronok juga kan mendaki bukit melompat longkang. Kalau waktu biasa, terasa longkang itu sangat besar. Berjalan jauh dari sogo ke istana negara (tak sempat sampai pun sebenarnya) juga satu senaman yang baik untuk kaki.

Sedih dan sebak apabila teringatkan kisah dua sultan, salahudin ayubi dan sultan muhammad al-fateh. Mereka berdua sangat baik kan. Melayan musuh dengan penuh santun. Dan rakyat di negara mewah ini, disiram dengan water cannon ketika berehat di masjid negara. Di kawasan masjid pun mereka tergamak buat begitu. Sampai hati mereka semua. Walhal ramai pakcik makcik baya datuk nenek kita yang turut sama. Kasihan melihat mereka merah-merah mata menahan pedih.

Hari ini, berita menyebut ppsmi akan diteruskan. Saya hilang kata-kata...

Semoga hari ini lebih baik dari semalam...

wassalam